Sabtu, 2 Mei 2020 | 8:44pm
Lelaki yang memakai topeng muka melewati mural di Tehran. - Foto Agensi
Lelaki yang memakai topeng muka melewati mural di Tehran. - Foto Agensi

COVID-19: Iran lapor kes jangkitan terendah sejak 10 Mac

TEHRAN: Iran hari ini mengatakan terdapat "penurunan yang jelas" dalam jumlah jangkitan COVID-19 apabila ia melaporkan 802 kes baharu, jumlah harian terendah sejak 10 Mac.

Kes baharu menjadikan 96,448 jumlah keseluruhan yang dicatatkan di Iran sejak mengumumkan kes pertama pada pertengahan Februari.

"Ini menunjukkan penurunan yang jelas dalam jumlah jangkitan baharu berbanding minggu-minggu kebelakangan ini, walaupun kami aktif melakukan ujian," kata jurucakap kementerian kesihatan, Kianoush Jahanpour, di televisyen negeri.

Beliau menambah bahawa 77,350 dari mereka yang dirawat di hospital sudah didiscaj, dan mendakwa ia adalah "salah satu peratusan pemulihan tertinggi di dunia."

Kematian baharu akibat COVID-19 meningkat sedikit kepada 65 dalam 24 jam terakhir, mencapai jumlah 6,156, kata Jahanpour.

Terdapat keraguan ditimbulkan mengenai angka COVID-19 Iran oleh pakar dan pegawai di dalam dan luar negara.

Timbalan menteri kesihatan Iran, Iraj Harirchi, memberi amaran bahawa penurunan jumlah jangkitan dengan cepat boleh bertukar sebaliknya.

"Saya menekankan bahawa penurunan berterusan ini rapuh," kata Harirchi, yang telah pulih dari COVID-19.

"Sikap tidak berhati-hati dalam perhimpunan, membuka kembali (perniagaan) dan tidak mematuhi protokol kesihatan boleh membuat negara menghadapi masalah serius lagi."

Beliau juga meminta pemerintah supaya meningkatkan perbelanjaan sektor kesihatan, yang menurutnya dilanda tekanan fiskal akibat sekatan Amerika Syarikat (AS) yang meluas dan penguncupan ekonomi global yang berpunca daripada COVID-19.

Iran telah berusaha membendung penyebaran virus dengan menutup sekolah, universiti, pawagam dan stadium dan tempat awam lain sejak Mac.

Namun, ia telah membenarkan pembukaan ekonomi secara berperingkat sejak 11 April, dan pihak berkuasa kini mempertimbangkan untuk membenarkan pembukaan pusat sukan, budaya dan keagamaan juga.

Pihak berkuasa Teheran, yang membenarkan pengangkutan awam tetap berjalan walaupun ada amaran dari pakar kesihatan, mewajibkan penumpang memakai topeng muka bermula hari ini.

Virus itu tidak terkecuali dari tokoh orang ramai, dengan sekurang-kurangnya 12 pegawai kerajaan atau penggubal undang-undang semasa atau bekas, meninggal dunia dan ramai dijangkiti.

Salah seorang yang paling kanan - ketua Parlimen Ali Larijani - membuat penampilan pertamanya di depan umum selepas sebulan hari ini, mengenakan topeng pelindung untuk menghadiri pertemuan di televisyen bersama presiden dan ketua badan kehakiman. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X