Ahad, 3 Mei 2020 | 6:37pm
Presiden Hassan Rouhani mempengerusikan sesi kabinet di ibu negara Tehran. - Foto AFP
Presiden Hassan Rouhani mempengerusikan sesi kabinet di ibu negara Tehran. - Foto AFP

COVID-19: Iran buka semula kebanyakan masjid

TEHRAN: Presiden Iran, Hassan Rouhani, berkata masjid akan dibuka semula di sebahagian besar negara itu esok, selepas ditutup pada awal Mac berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan banyak kematian di Asia Barat.

Rouhani mengatakan 132 daerah, kira-kira sepertiga bahagian pentadbiran negara, akan 'membuka semula masjid mereka mulai esok'.

"Jarak sosial lebih penting daripada solat berjemaah," tambahnya, dengan menyatakan bahawa Islam menganggap keselamatan itu wajib, sedangkan solat di masjid hanya "disarankan".

Daerah yang disasarkan adalah "berisiko rendah", kata Rouhani dalam pertemuan yang disiarkan oleh petugas virus negara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga mempertimbangkan untuk membuka semula sekolah pada 16 Mei untuk membolehkan kelas selama sebulan sebelum cuti musim panas.

COVID-19 telah membunuh lebih dari 6,150 dan menjangkiti lebih 96,440 orang di Iran sejak ia mengumumkan kes pertama pada pertengahan Februari.

Rouhani mendakwa, kini kehadiran ke hospital mengenai kemungkinan jangkitan adalah "jauh lebih rendah" berbanding minggu-minggu terakhir.

Iran pada Sabtu melaporkan jumlah jangkitan baru terendah sejak 10 Mac.

Pakar dan pegawai di Iran dan di luar negara menimbulkan keraguan terhadap angka COVID-19 negara itu, mengatakan jumlah kes yang sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Republik Islam itu telah berusaha membendung penyebaran virus terbabit dengan menutup universiti, pawagam, stadium dan tempat awam lain sejak Mac.

Tetapi, ia telah membuka kembali ekonominya secara berperingkat sejak 11 April, dengan alasan bahawa negara yang dilanda sekatan itu tidak mampu untuk ditutup.

Hanya perniagaan "berisiko tinggi" seperti gimnasium dan kedai gunting rambut yang ditutup.

"Kami akan meneruskan pembukaan semula dengan tenang dan berperingkat, kata Rouhani.

Namun, beliau memperingatkan bahawa Iran juga harus bersiap untuk "senario buruk", dengan mengatakan 'keadaan ini mungkin berlanjutan hingga musim panas'. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X