Sabtu, 9 Mei 2020 | 9:31pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

China akui COVID-19 dedah kekurangan sistem kesihatan

BEIJING: Penularan COVID-19 mendedahkan kekurangan sistem kesihatan awam China, namun pembaharuan kini giat dijalankan bagi memperbaiki mekanisma kawalan dan pencegahan penyakit di negara itu.

Menurut pegawai tinggi kesihatan negara itu, China menerima kritikan dari dalam serta luar negara kerana tidak mengheboh dan sebaliknya menyembunyikan maklumat mengenai penularan wabak itu.

Wabak yang buat pertama kali muncul di Wuhan Disember lalu itu kini menjangkiti lebih empat juta penduduk dunia dan meragut lebih 270,000 nyawa serta melumpuhkan ekonomi global.

Beijing bagaimanapun berkeras mengatakan negara itu sering berkongsi maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain tepat pada masanya.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Li Bin, hari ini membuat pengakuan bahawa sistem penjagaan kesihatan tidak cukup bersedia dan mengakibatkan kelompangan dalam tindak balas China.

"Penularan COVID-19 adalah ujian besar yang mendedahkan China mempunyai kekurangan dalam menangani pandemik besar, sistem kawalan, sistem kesihatan awam dan aspek lain dalam tindak balas kecemasan.

"China akan membangunkan sistem kepemimpinan berpusat, cekap dan bersatu bagi membolehkan ia bertindak balas dengan cepat serta berkesan kepada mana-mana krisis kesihatan awam di masa hadapan," katanya.

Pihak berkuasa juga sedang membincangkan bagaimana untuk memodenkan pengawalan penyakit dan sistem pencegahan dengan menggunakan data besar, teknologi kepintaran buatan (AI), pengkomputeran awam dan teknologi lain.

Semua pendekatan itu boleh membantu meramal penularan dengan lebih tepat dan meningkatkan tahap bersiap sedia.

Suruhanjaya itu juga akan menimbangkan kaedah untuk mengkaji semula undang-undang kesihatan awam, memperkukuhkan pertukaran antarabangsa dan mengambil bahagian secara aktif dalam tadbir urus kesihatan global.

Walaupun menjadi pusat pertama penyebaran pandemik itu, China tidak melaporkan sebarang kematian akibat COVID-19 selama 24 hari dan negara itu mula membuka semula sekolah dan menggesa pekerja untuk kembali bekerja. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X