Selasa, 19 Mei 2020 | 11:19am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Syria larang solat sunat Aidilfitri secara terbuka

DAMASCUS: Syria melarang umat Islam di negara itu mengadakan solat sunat Aidilfitri secara terbuka, sekali gus mengikut langkah diambil kerajaan Mesir dan Algeria.

Kerajaan negara itu menggalakkan umat Islam melakukan solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal bersama keluarga di rumah masingg-masing, lapor agensi berita SANA

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Perundangan Kementerian Hal Ehwal Agama bagi mematuhi usaha memerangi pandemik COVID-19.

Kes positif COVID-19 dilaporkan sebanyak 58 kes di Syria dengan tiga kematian setakat ini.

Sambutan Aidilfitri secara tradisinya diraikan umat Islam di seluruh dunia dengan mengadakan solat sunat berjemaah di masjid, menziarahi keluarga, jiran dan saudara-mara serta rumah terbuka.

Pada 14 Mei lalu, pihak berkuasa Syria melarang perhimpunan awam sepanjang Ramadan, termasuk mengadakan perintah berkurung sebelah malam bermula jam 7.30 malam.

Mesir yang mencatatkan 12,764 kes positif dan 645 kematian turut mengetatkan perintah berkurung ketika Aidilfitri bagi memerangi penyebaran COVID-19, manakala perniagaan dan pengangkutan awam turut tutup.

Al-Azhar, institusi ahli sunnah wal jamaah terkenal dunia di Kaherah, turut mengarahkan larangan solat berjemaah di masjid.

Algeria pula yang merekodkan 7,201 kes positif dan 555 kematian juga turut mengeluarkan arahan sama bagi membendung penularan wabak COVID-19 ketika sambutan Aidilfitri. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X