Isnin, 25 Mei 2020 | 10:28pm

Ular jadi 'senjata' bunuh isteri

NEW DELHI: Seorang lelaki di India ditahan atas tuduhan membunuh isterinya dengan melepaskan ular tedung ke dalam bilik wanita itu, selepas cubaan pertama menggunakan ular kapak gagal.

Polis di selatan Kerala berkata rakaman perbualan telefon membuktikan lelaki dikenali sebagai Sooraj, 27, menghubungi pengendali ular dan juga menonton video mengenai reptilia itu di internet.

Pegawai polis, Ashok Kumar, berkata pada Mac lalu suspek menggunakan ular spesies Russell's viper yang amat berbisa untuk membunuh isterinya, Uthra, namun mangsa hanya cedera dan menerima rawatan selama dua bulan.

"Ketika mangsa masih beransur pulih di rumah ibu bapanya, Sooraj mendapatkan ular tedung pula daripada pengendali ular dan melemparkannya ke atas isterinya yang sedang tidur.

"Sooraj terus tinggal sebilik dengan Uthra, seolah-olah tiada apa yang berlaku serta menjalani rutin hariannya dan hanya pada pada keesokan hari kononnya menyedari isterinya dipatuk ular selepas mendengar jeritan ibu mangsa.

"Mereka membawanya ke hospital, namun doktor memaklumkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia, " katanya.

Bagaimanapun, ibu bapa Uthra mula curiga apabila Sooraj cuba mendapatkan hak milik harta milik isterinya, hanya beberapa hari selepas kematian mangsa.

Uthra adalah dari keluarga yang mewah tetapi keluarga Sooraj, yang bekerja di sebuah bank swasta, tidak begitu berada dan pasangan ini mempunyai seorang anak berusia setahun.

Polis berkata, perkahwinan mereka membabitkan hantaran yang besar termasuk 100 syiling emas, kereta baharu dan wang tunai kira-kira 500,000 Rupee (RM28,734).

Difahamkan, Sooraj bimbang Uthra akan menceraikannya dan dia terpaksa memulangkan semula hantar kahwin, sekali gus mendorongnya untuk membunuh mangsa, - AFP

Berita Harian X