Ahad, 5 Julai 2020 | 10:18pm
Pekerja membersih lantai Kompleks Sukan Komanwel yang ditukar sebagai pusat penjagaan COVID-19 di New Delhi, hari ini. Foto AFP
Pekerja membersih lantai Kompleks Sukan Komanwel yang ditukar sebagai pusat penjagaan COVID-19 di New Delhi, hari ini. Foto AFP

COVID-19: India rekod jangkitan baharu harian besar

NEW DELHI: India merekodkan jumlah besar kes COVID-19 hari ini, sekali gus menghampiri Russia sebagai negara ketiga tertinggi dijangkiti wabak itu, walaupun membuka pusat rawatan berskala besar di ibu kotanya bagi memerangi pandemik berkenaan.

Kementerian Kesihatannya melaporkan hampir 25,000 kes dan 613 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, sekali gus lonjakan kes harian terbesar sejak jangkitan kes pertama dikesan hujung Januari lalu.

Lonjakan mendadak terjadi apabila ketika New Delhi mulai merawat pesakitnya di pusat agama yang diubah suai sebagai wad pengasingan dan hospital yang lebih luas, menempatkan kira-kira 10,000 katil pesakit dengan kebanyakannya diperbuat daripada kadbod.

Dengan keluasan menyamai 20 padang bola, kemudahan terbabit digunakan untuk merawat pesakit dengan gejala ringan dan tiada gejala.

Pegawai kerajaan negeri bimbang bandar metropolis itu mencatatkan lebih daripada setengah juta kes pada menjelang akhir bulan ini.

Akibat lonjakan mendadak itu, India kini merekodkan lebih dari 673,000 kes dan 19,268 kematian, mengatasi Russia yang turut merekod wabak yang teruk.

Pelaksanaan perintah berkurung yang ketat sejak akhir Mac lalu dilonggarkan secara berperingkat, sekali gus membolehkan kebanyakan sektor ekonomi dibuka kembali selepas sekian lama ditutup.

Sekolah, kereta api dalam bandar, pawagam, gimnasium dan kolam renang bagaimanapun masih ditutup, biarpun penerbangan antarabangsa dibenarkan beroperasi.

Pihak berkuasa mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, sementara perhimpunan ramai dilarang, dan premis perniagaan dan kemudahan awam diminta mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Negeri yang terletak di barat India, Maharashtra, iaitu negeri paling teruk terjejas dan hab kewangan Mumbai merekodkan lebih 7,000 kes baharu COVID-19.

Sementara itu, negeri selatan, Tamil Nadu dan ibu negara New Delhi masing-masing mencatatkan lebih daripada 4,200 and 2,500 kes baharu.

Mumbai, Delhi dan Chennai, kota Tamil Nadu antara bandar paling terjejas. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X