Selasa, 14 Julai 2020 | 11:42pm
Negeri di timur India, Bihar melaksanakan perintah berkurung selama 15 hari bagi mulai 16 Julai ini bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19. - Foto AFP
Negeri di timur India, Bihar melaksanakan perintah berkurung selama 15 hari bagi mulai 16 Julai ini bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19. - Foto AFP

Bihar dikenakan perintah berkurung

NEW DELHI: Negeri di timur India, Bihar melaksanakan perintah berkurung selama 15 hari bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Timbalan Ketua Menterinya, Sushil Kumar Modi, berkata perintah itu akan berkuat kuasa mulai Khamis ini hingga 31 Julai depan.

"Semua majlis perbandaran daerah, ibu pejabat daerah dan ibu pejabat blok akan dikenakan perintah berkurung.

"Garis panduan kini sedang dimuktamadkan," katanya menerusi kenyataan di Twitter.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum Bangalore dijangka menjalani perintah sama, selama seminggu, malah keadaan sedemikian turut berlaku di daerah dan negeri lain, selepas India mencatatkan peningkatan jumlah kes COVID-19 menghampiri sejuta.

Berdasarkan perangkaan semasa, Bihar pada hari ini mencatatkan 1,432 kes positif COVID-19, iaitu rekod melebihi angka 1,000 untuk tiga hari berturut-turut.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, pertambahan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri berkenaan meningkat hampir kepada 19,000 dengan 134 kematian.

Sushil berkata, langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan garis panduan kesihatan berkaitan terpaksa dilakukan sepanjang masa ketika ini.

"Hal ini kerana kita masih tiada ubat atau vaksin untuk COVID-19," katanya.

Selepas melaksanakan perintah berkurung antara paling ketat di seluruh dunia pada akhir Mac lalu, India dilihat mula membuka sektor berkaitan secara berperingkat bagi mengurangkan impak ekonomi susulan pandemik COVID-19, khususnya membabitkan ratusan ribu penduduknya yang hilang pekerjaan.

Bagaimanapun, jangkitan wabak terbabit terus menular, melepasi angka 900,000 kes setakat semalam, selain mengorbankan 24,000 orang. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X