Selasa, 29 Ogos 2017 | 7:40am
DUA lelaki menikam mati seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi di Dagestan. - Foto hiasan

Polis maut ditikam di Russia

MOSCOW: Dua lelaki menikam mati seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi di Dagestan, utara Caucasus, Russia sebelum ditembak mati dalam serangan didakwa didalangi kumpulan Daesh.

Ia adalah serangan kali kedua di Russia dalam tempoh 10 hari yang didakwa dilakukan Daesh selepas seorang lelaki bersenjatakan kapak mencederakan tujuh orang di bandar Siberia, Surgut pada 19 Ogos lalu.

Penyiasat Russia mengklasifikasikan kedua-dua serangan itu sebagai insiden jenayah, walaupun didakwa dilakukan Daesh.

Jawatankuasa Penyiasat Serantau berkata, penyerang menggunakan pisau untuk menikam dua pegawai polis sebelum ditembak di sebuah stesen minyak di bandar Laut Kaspia, Kaspiysk.

Kaspiysk adalah bandar yang didiami kira-kira 100,000 penduduk dan terletak kira-kira 20 kilometer dari selatan Dagestan, ibu kota Makhachkala.

Sementara itu, stesen televisyen Rossiya 24 melaporkan penyerang adalah sangat muda dan ditembak mati oleh pegawai polis ketiga di tempat kejadian. - AFP

Berita Harian X