Ahad, 15 Oktober 2017 | 8:07pm
BRITAIN dan Ireland bersiap sedia berdepan serangan Taufan Ophelia. - Foto AFP

Taufan Ophelia tuju Ireland, UK

LISBON: Britain dan Ireland bersiap sedia berdepan serangan Taufan Ophelia, terbesar pernah direkodkan di timur Lautan Atlantik, hari ini.

Taufan itu sebelum ini membawa hujan lebat di kepulauan Azores, Portugal.

Ophelia yang melintasi gugusan Azores semalam, diklasifikasikan taufan kategori 3, membawa angin dengan kelajuan sekurang-kurangnya 178 kilometer sejam.

Pihak berkuasa berkata, walaupun kekuatannya semakin lemah ketika menghampiri Ireland dan Britain, ia cukup kuat merosakkan bangunan dan mencetuskan keadaan laut bergelora serta potensi banjir.

Ophelia ialah taufan ke-15 dalam senarai taufan musim 2017 Atlantik, dijangka berlarutan hingga akhir November.

Sebelum ini tiga taufan utama, Harvey, Irma dan Maria mendatangkan kerosakan besar di Caribbean dan Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS).

Pakar kaji cuaca berkata, Ophelia ialah taufan terkuat direkodkan setakat ini di timur Atlantik dan pertama menyerang sehingga ke bahagian utara sejak tahun 1939.

Pusat Taufan Nasional AS bagaimanapun berkata, kekuatan Ophelia akan berkurangan kepada pasca ribut tropika dengan angin kuat dan ciri-ciri lain ribut. - AFP

Berita Harian X