Isnin, 6 November 2017 | 1:41am
Setiausaha Pertama Britain, Damian Green. - Foto REUTERS
Setiausaha Pertama Britain, Damian Green. - Foto REUTERS

Sekutu May nafi bahan lucah dalam komputernya

LONDON: Menteri paling kanan dalam Kabinet Perdana Menteri Theresa May menafikan dakwaan bahawa polis menemui bahan pornografi dalam satu daripada komputernya di Parlimen pada 2008.

Penafian itu muncul ketika Britain bergelut membendung skandal berkaitan gangguan seksual.

Setiausaha Pertama Britain, Damian Green, berkata dakwaan oleh seorang bekas pegawai polis kanan dalam sebuah akhbar mingguan 'jelas tidak benar' dan 'menjejaskan persekitaran politik.'

"Kisah ini jelas tidak benar dan datangnya daripada sumber tercemar dan tidak boleh dipercayai," kata Green dalam satu kenyataan di Twitter.

Dakwaan itu kata Green adalah 'serangan peribadi'.

Akhbar The Sunday Times dalam laporan muka depannya berkata, bekas penolong pesuruhjaya polis Metropolitan, Bob Quick mendakwa bahan itu ditemui pegawainya ketika siasatan terhadap kebocoran rahsia kerajaan pada 2008.

Quick yang terbabit dalam siasatan kebocoran maklumat itu memberitahu akhbar, pegawai melaporkan penemuan pornografi 'ekstrim' dalam sebuah komputer parlimen dari pejabat Green.

Dakwaan ke atas seorang daripada sekutu paling rapat May berisiko mendalamkan lagi skandal gangguan seksual sehingga mendorong Setiausaha Pertahanan Britain, Michael Fallon meletak jawatan Rabu lalu.

Kerajaan minoriti May sudah bergelut dengan perpecahan susulan pengunduran Britain daripada Kesatuan Eropah (EU).

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Amber Rudd, berkata perkara itu akan disiasat Pejabat Kabinet esok dan beliau menafikan kerajaan kini di ambang keruntuhan jika Green meletak jawatan. - Reuters

Berita Harian X