Sabtu, 18 November 2017 | 1:00pm
RATU Elizabeth II dan Putera Philip. - Foto AFP
RATU Elizabeth II dan Putera Philip. - Foto AFP

Ratu Elizabeth II, suami sambut ulang tahun perkahwinan ke-70

LONDON: Ratu Elizabeth II dan Putera Philip akan menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-70, Isnin ini.

Walaupun tiga daripada anak mereka iaitu Charles, Anne dan Andrew bercerai, pasangan diraja itu terus utuh mengharungi beberapa dekad bersama tanpa sebarang petanda jelas ketegangan rumah tangga.

Tiada majlis keramaian dirancang untuk sambutan itu tetapi loceng di Westminster Abbey, tempat mereka melangsungkan perkahwinan 70 tahun lalu, akan berbunyi pada jam 1 tengah hari waktu tempatan, pada hari itu.

Ratu Elizabeth dan Putera Philip hanya akan meraikan hari itu dengan anggota keluarga Diraja lain, kata jurucakap Istana Buckingham.

Selepas 70 tahun berkahwin, keluarga mereka berkembang dengan empat anak, lapan cucu dan lima cicit.

Mereka dijangka menerima cicit keenam, April ini apabila anak ketiga Putera William dan Kate Middleton dilahirkan. - AFP

Berita Harian X