Jumaat, 2 March 2018 | 1:27am

'Mona Lisa' pamer senyuman di seluruh Perancis

PARIS: Selepas hampir 500 tahun disimpan, 'Mona Lisa', iaitu karya agung Da Vinci, bakal memulakan siri jelajah di negara itu dan ia sesuatu yang jarang berlaku.

Menteri Kebudayaan Perancis, Francoise Nyssen, memberitahu radio Europe 1, beliau sudah menimbangkan secara serius untuk mengadakan pameran bergerak bagi karya seni paling berprestij itu.

"Saya akan bertemu presiden Muzium Louvre untuk berbincang mengenainya.

"Keutamaan saya bertumpu kepada usaha menyanggah pengasingan budaya dan saya perlukan perancangan berskala besar bagi menjayakan pameran bergerak ini," kata Nyssen selain menyatakan tidak memahami kenapa karya yang sebegitu hebat dipamerkan di satu tempat sahaja.

Lukisan itu yang menyerlahkan senyuman misteri seorang wanita sudah sekian lama menakluk hati seniman dan pemujanya, sekali gus menarik kunjungan jutaan pelawat ke Muzium Louvre setiap tahun.

Namun, ia jarang dibawa keluar dari dinding muzium, berikutan kebimbangan pegawai yang menganggap lukisan itu rapuh dan memerlukan perlindungan keselamatan.

Selain itu, 'Mona Lisa' pernah dicuri dari Louvre pada 1911 sebelum ditemui semula dua tahun kemudian di Florence.

Nyssen turut menepis kebimbang berhubung isu pemeliharaan lukisan itu, sebaliknya mendedahkan Presiden Emmanuel Macron menawarkan kepada Britain untuk meminjam Bayeux Tapestry, iaitu permaidani hampir 1,000 tahun.

Berikutan itu, permaidani itu bakal dipinjamkan pada 2022 dan berada di Britain sehingga kerja pengubahsuaian muzium yang menempatkannya selesai. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X