Jumaat, 23 March 2018 | 10:28pm
- Gambar hiasan

Obesiti bakal ganti merokok punca utama barah

LONDON: Obesiti akan mengambil alih peranan merokok sebagai punca utama kematian berkaitan barah yang boleh dielakkan, kata pembiaya penyelidik barah bebas terbesar dunia.

Dengan kadar merokok menurun dan obesiti meningkat, ia boleh mengatasi tabiat buruk itu sebagai pembunuh terbesar, kata Ketua Eksekutif Penyelidik Barah United Kingdom, Harpal Kumar, ketika ia menyiarkan penyelidikan baru.

"Obesiti berpotensi menjadi tabiat merokok baru, jika kita tidak berhati-hati.

"Mungkin dalam masa beberapa dekad lagi kita akan melihat kedua-duanya akan bertukar tempat," kata Kumar.

Susulan kajian baru ke atas data barah 2015, badan kebajikan itu mendapati 37.7 peratus daripada semua jenis barah yang didiagnos di Britain setiap tahun boleh dicegah menerusi perubahan gaya hidup.

Merokok kekal sebagai punca barah boleh dielakkan terbesar, faktor dalam 15.1 peratus kes boleh dielak, menurun 19.4 peratus pada 2011, diikuti obesiti pada 6.3 peratus, meningkat daripada 5.5 peratus.

Penyelidikan yang disiarkan dalam British Journal of Cancer menunjukkan obesiti menyebabkan 13 jenis barah berbeza, termasuk barah usus, payudara, rahim dan buah pinggang.

"Menjalani kehidupan sihat tidak menjamin seseorang tidak akan mendapat barah, tetapi berkemungkinan boleh mencegahnya.

"Perangkaan menunjukkan kita boleh mengambil langkah positif mengurangkan risiko penyakit itu.

"Pencegahan adalah jalan paling berkesan memerangi barah," kata Kumar. - AFP

Berita Harian X