Jumaat, 8 Jun 2018 | 11:18pm

ILO setuju draf perjanjian elak gangguan seksual

GENEVA: Pertubuhan buruh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini bersetuju merangka perjanjian antarabangsa bagi melindungi pekerja daripada diganggu secara seksual dan keganasan ketika pergerakan #MeToo terus bergema dan memalukan pelakunya di seluruh dunia.

Menutup mesyuarat tahunan di sini, anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bersetuju perlunya 'menerima pakai piawaian terhadap keganasan dan gangguan dalam dunia pekerjaan'.

"Piawaian ini seharusnya berbentuk konvensyen," kata kenyataan pertubuhan itu.

ILO, kumpulan 187 negara anggota bersama kesatuan buruh dan wakil majikan terkemuka, bersetuju perjanjian itu akan dibahaskan dan diundi dalam persidangan tahunan pada 2019.

Keputusan itu dibuat ketika pergerakan #MeToo terus bergema di seluruh dunia, dengan mangsa tampil melaporkan gangguan seksual, kadang kala tokoh terkemuka dalam industri dan seni.

Walaupun persetujuan akhir konvensyen baharu ILO tidak dijangka sehingga Jun 2019, anggota bersetuju hari ini, perjanjian itu perlu menyasar menghalang 'pelbagai tingkah laku dan amalan yang tidak dapat diterima atau ancaman daripadanya'. - AFP

Berita Harian X