Selasa, 17 Julai 2018 | 10:20am
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. - Foto EPA
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. - Foto EPA

Tiada alasan mempercayai campur tangan Russia: Trump

HELSINKI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang bertemu rakan sejawatannya Vladimir Putin semalam berkata, beliau melihat tiada alasan untuk mempercayai Russia terbabit menggodam pilihan raya presiden 2016, malah pemimpin Moscow itu 'berkeras' menafikannya.

Trump mengadakan pertemuan itu beberapa hari selepas seorang pendakwa raya khas AS, Robert Mueller, mendakwa 12 ejen Russia kerana mencuri dokumen Parti Demokrat sekali gus membantunya memenangi undian berkenaan.

Dalam satu sidang media mengelirukan selepas rundingan bersemuka di sini, Trump berkata, tiada satu pun kata-kata kritikal mengenai Russia terhadap mana-mana isu yang mengakibatkan hubungan antara Washington dan Moscow tegang seperti pasca Perang Dingin, dari isu Ukraine sehinggalah Syria.

Ditanya jika beliau mempercayai agensi perisikan AS yang merumuskan campur tangan Russia dalam pilihan raya 2016, Trump berkata, beliau dimaklumkan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Russia seharusnya dipersalahkan, namun dirinya sendiri tidak pasti.

"Saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa perlu mempercayainya. Presiden Putin amat berkeras untuk menafikannya (pembabitan Russia) hari ini," kata Trump.

Malah, sebelum pertemuan kedua-duanya bermula, Trump menyalahkan negaranya sendiri kerana ketegangan hubungan dengan Russia.

"Hubungan kita dengan Russia tidak pernah teruk, terima kasih atas kebodohan AS dan kini tuduhan sengaja diada-adakan!" tweet Trump.

Kementerian Luar Russia menanda 'like' kata-katanya dan membalas: "Kami setuju."

Dalam sidang media itu, Trump diminta media mengkritik Russia, namun berulang kali ditolak. -Reuters

Berita Harian X