Rabu, 8 Ogos 2018 | 7:38am
THERESA May . - Foto AFP
THERESA May . - Foto AFP

PM UK sokong gesaan maaf isu burqa

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May menyokong gesaan supaya bekas Setiausaha Luarnya, Boris Johnson memohon maaf atas komen menghina mengenai pemakaian burqa di kalangan wanita Islam, namun sebaliknya bekas pemimpin itu menyelar pengkritik sebagai ‘tidak masuk akal.’

May berkata, kenyataan Johnson itu ‘jelas melanggar undang-undang’ dan bersetuju dengan pengerusi Parti Konservatifnya, Brandon Lewis, yang meminta bekas diplomat itu memohon maaf.

“Saya benar-benar berpendapat, kita perlu berhati-hati terhadap bahasa dan terma yang digunakan. Sesetengah terma digunakan Boris bagi menggambarkan penampilan individu jelasnya menghina.

“Apa yang penting adalah, kami percaya, orang ramai mempunyai hak mengamalkan agama masing-masing dan dalam kes wanita, burqa dan niqab, memilih bagaimana mereka berpakaian,” kata Perdana Menteri itu.

Dalam kolumnya di akhbar Daily Telegraph Isnin lalu, Johnson berkata, wanita yang memakai penutup muka penuh kelihatan seperti ‘perompak bank’ atau ‘peti surat,’ mencetuskan tuduhan Islamofobia.

Namun bekas diplomat atasan itu, yang memiliki reputasi kerana mencetuskan kontroversi dan meletak jawatan daripada Kabinet May bulan lalu sebagai membantah rancangan Brexitnya, enggan beralah.

“Agak tidak masuk akal pandangan seperti ini diserang, kita tidak perlu masuk perangkap menutup perdebatan isu sukar.

“Kita perlu membangkitkannya. Jika kita gagal bersuara untuk nilai kebebasan, kita dengan mudahnya menjadi benteng kepada penindak balas dan pelampau,” kata sumber rapat kepada Johnson kepada media.

Dalam artikel tulisannya, Johnson berkata, beliau menentang larangan penutup muka penuh namun menambah, ‘tidak masuk akal orang memilih untuk pergi ke khalayak ramai kelihatan seperti peti surat.’ Kenyataannya menarik kecaman daripada bekas rakan sekerjanya. -AFP

Berita Harian X