Jumaat, 24 Ogos 2018 | 11:54am

Permainan video era Nazi cetus perdebatan di Jerman

COLOGNE: Permainan video pertama menggambarkan era pemerintahan Nazi Jerman tanpa tapisan antara 1933 hingga 1945 turut memaparkan swastika (lambang Nazi) dan Adolf Hitler, mencetuskan perdebatan jika ia lanjutan kebebasan seni atau bahaya baharu radikalisasi.

‘Through the Darkest of Times’ dipersembahkan dalam pesta perdagangan terbesar Eropah untuk permainan interaktif dan hiburan, Gamescome.

Pemain memakai but anggota ‘Red Orchestra’, rangkaian kumpulan yang menentang Nazi sebelum dan ketika Perang Dunia Kedua dengan sokongan Kesatuan Soviet.

Dalam permainan sebelumnya, swastika hitam berlatar belakang putih dan merah digantikan dengan simbol lain seperti segitiga untuk mematuhi undang-undang Jerman yang secara umum melarang simbol ‘anti-perlembagaan.’

Edisi alternatif sejarah pemecah panggung Jerman, ‘Wolfenstein 2’ menamakan semula Hitler dan memotong kumis uniknya.

Namun kini peraturan dilonggar dan Nazi maya itu memakai simbol asal mereka pada logo senjata manakala jambang pemimpin serta nama dikembalikan.

“Pembangun biasanya takut untuk mengatakan siapa yang mereka perkatakan, mereka hanya mewujudkan fantasi.

“Hitler tidak dinamakan Hitler tetapi Heiler dan tiada kumis, tiada lagi Yahudi, ia bermasalah kerana keseluruhan aspek sejarah dihapuskan,” kata Joerg Friedrich, seorang pembangun permainan baharu.

Sejak awal bulan ini, pantang larang itu dilanggar di Jerman. Tekanan daripada penerbit dan pemain permainan video akhirnya meyakinkan badan pengawal selia sendiri perisian hiburan Jerman, USK untuk meluluskan kebebasan sama diberi kepada pawagam atau teater.

Satu keputusan mahkamah pada 1998 menyekat permainan video daripada menggunakan simbol Nazi, dengan hakim bimbang ketika itu, kanak-kanak akan membesar bersama simbol dan lambang terbabit serta terbiasa dengannya. -AFP

27 dibaca
Berita Harian X