Ahad, 16 September 2018 | 9:35am
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto EPA
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto EPA

British PM jelek soal persaingan, mahu tumpu Brexit

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, semalam meluahkan rasa jengkel dengan spekulasi mengenai persaingan kepemimpinan parti ketika menyelar bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson, yang dilihat sebagai pencabar kuatnya.

Pemimpin Parti Konservatif itu berkata, beliau memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan perjanjian Brexit berbanding masa depannya sendiri, dalam temubual dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), enam bulan menjelang pengunduran Britain daripada Kesatuan Eropah.

May mengecam Johnson kerana menggunakan bahasa ‘amat amat kesat’ apabila menggambarkan cetakan biru Brexit yang dilakukannya sebagai meletakkan Britain dalam ‘ves bunuh diri’.

Ditanya mengenai rancangannya untuk kekal dalam jawatan itu, May berkata: “Ia agak jengkel tetapi perbahasan ini bukan mengenai masa depan saya, tetapi mengenai masa depan penduduk United Kingdom dan masa depan negara ini.

“Ini yang menjadi tumpuan saya dan sepatutnya menjadi fokus kita semua.”

Beliau menambah, adalah penting untuk memastikan mereka mendapat penyelesaian baik daripada Kesatuan Eropah yang elok untuk penduduk di United Kingdom, di mana saja mereka menetap di negara itu.

Johnson, yang meletak jawatan berhubung cadangan May memastikan Britain rapat dengan EU dalam soal perdagangan, menjadi calon kegemaran menggantikan beliau, mengatasi Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid; Menteri Alam Sekitar, Michael Gove dan Setiausaha Luar, Jeremy Hunt. — AFP

Berita Harian X