Sabtu, 22 September 2018 | 6:43pm
THERESA May. - Foto Getty Images
THERESA May. - Foto Getty Images

May mungkin hilang ramai menteri berhubung Brexit

LONDON: Sebahagian menteri Britain menuntut ‘Pelan B’ mengenai cadangan Brexit yang akan dikemukakan Perdana Menteri, Theresa May, minggu depan dan akan meletak jawatan jika beliau tidak mengubah matlamatnya, lapor akhbar Telegraph semalam, memetik sumber tidak dinamakan.

Mereka menuntut pelan alternatif berhubung cadangan ‘Chequers’ pada mesyuarat Kabinet Isnin ini.

Rancangan itu sudah pun dikritik pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Salzburg awal minggu ini, memaksa May mencabar mereka mengemukakan pelan sendiri.

Anggota parti pimpinan May yang pro-Brexit, semalam menyambut baik ketegasan beliau tetapi cadangan Chequers juga menerima kritikan domestik.

Menurut The Telegraph, ada spekulasi Menteri Kerja dan Pencen, Esther McVey, mungkin akan keluar daripada mesyuarat Isnin ini jika tiada cadangan baru dibentangkan, manakala Menteri Pembangunan Antarabangsa, Penny Mordaunt, juga dikatakan bakal meletak jawatan, walaupun akhbar berkenaan melaporkan rakannya menafikan perkara itu.

Awal semalam, Mordaunt berkata, tindak tanduk EU meningkatkan sokongan di Britain untuk keluar daripada blok itu walaupun ia bermakna berundur tanpa sebarang perjanjian.

Menurut akhbar itu juga, Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid, menyokong perjanjian yang memudahkan bagi Britain menandatangani perjanjian perdagangan, tetapi tidak mungkin meletak jawatan. — Reuters

Berita Harian X