Selasa, 25 September 2018 | 3:30pm
The Pink Legacy

The Pink Legacy dibawa keliling dunia sebelum dilelong

LONDON: Sebutir berlian merah jambu seberat 19 karat bakal dibawa mengikuti siri jelajah sebelum dilelong di Geneva dan dijangka mampu mencecah antara AS$30 juta (RM124 juta) dan AS$50 juta (RM206 juta).

Menurut pengumuman oleh agensi lelongan Christie hari ini, berlian dikenali sebagai ‘Pink Legacy’ itu dikategorikan sebagai ‘vivid’, iaitu kedudukan tertinggi bagi warna berlian dan memiliki berat 18.96 carat, menjadikan ia berlian merah jambu terbesar pernah dilelong setakat ini.

Ia sebelum ini adalah sebahagian daripada koleksi Oppenheimer, kata Christie merujuk kepada keluarga yang membangunkan syarikat De Beers sebagai peniaga berlian terbesar dunia.

“Ciri-ciri dan keunikan pada permata ini membuatkan ia berada dalam kelas tersendiri sebagai antara berlian terhebat dunia,” kata ketua perhiasan antarabangsa Christie, Rahul Kadakia.

Setakat ini hanya empat berlian merah jambu ‘vivid’ dengan berat lebih 10 karat pernah dibuka untuk lelongan, dengan rekod pembelian termahal dicatat pada November tahun lalu menerusi acara oleh Christie Hong Kong, membabitkan ‘The Pink Promise’, iaitu berlian berbentuk bujur yang dijual pada harga AS$33 juta (RM136 juta).

The Pink Legacy akan dibawa ke Hong Kong, London dan New York sebelum dilelong oleh Christie Geneva pada 13 November nanti. - Reuters

Berita Harian X