Selasa, 2 Oktober 2018 | 4:18pm

Ramai guna peranti untuk elak interaksi

MOSCOW: Peranti komunikasi seperti telefon bimbit dicipta untuk memudahkan komunikasi.

Anehnya, ia juga digunakan untuk mengelak interaksi apabila seseorang itu menghadapi situasi kurang selesa apabila bersosial.

Perkara ini didedahkan syarikat keselamatan siber, Kaspersky Lab, yang melakukan tinjauan mengenai sebab-sebab penggunaan peranti.

Sebanyak 75 peratus responden mengakui mereka berpura-pura sibuk menggunakan peranti itu apabila tidak mahu berbual dengan orang lain.

"Kebergantungan kepada alat komunikasi mempengaruhi kehidupan kita secara lebih besar daripada apa yang kita sangka. Ia sememangnya satu kemudahan.

"Bagaimanapun, ia juga penting bagi mereka yang berada dalam situasi sosial sulit," kata Timbalan Presiden Pemasaran Produk Kaspersky Lab, Dimitry Aleshin yang dipetik oleh portal Antara.

Selain itu, sebanyak 72 peratus responden pula mengakui menggunakan peranti itu apabila tidak tahu apa yang perlu dibuat dalam situasi tertentu.

Menggunakan alat komunikasi atau peranti tertentu itu membenarkan seseorang kelihatan sibuk termasuk apabila mengelak untuk memandang orang lain.

Sementara itu, 46 peratus responden menggunakan peranti hanya ketika masa lapan manakala 44 peratus menggunakannya untuk bersantai.

Tinjauan itu juga mendapati hampir 31 peratus responden gemar menempah teksi atau mencari lokasi destinasi menggunakan peranti kerana membenarkan mereka untuk tidak perlu bertanya orang lain.

Malah, 12 peratus responden mengakui bimbang tidak dapat berpura-pura sibuk apabila peranti mereka tidak berfungsi. - Agensi

Berita Harian X