Ahad, 14 Oktober 2018 | 9:16pm

Bekalan kru ISS cukup sehingga enam bulan

MOSCOW: Kru di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mempunyai bekalan bahan api, oksigen, air dan makanan sekurang-kurangnya sehingga enam bulan lagi, kata pengarah penerbangan unit Russia ISS, Vladimir Solovyov, yang dipetik agensi berita negara itu hari ini.

Russia menggantung semua pelancaran ke angkasa lepas buat sementara selepas dua angkasawan membuat pendaratan cemas dramatik di Kazakhstan Khamis lalu berikutan kegagalan roket Soyuz yang membawa mereka ke ISS.

“Simpanan mencukupi di ISS. Kami menganggarkan ia mencukupi untuk setengah tahun, sehingga musim panas tahun depan,” agensi berita RIA memetik Solovyov sebagai berkata.

Tiga angkasawan berada di ISS buat masa ini, iaitu seorang Jerman, seorang Russia dan seorang Amerika Syarikat, dijangka kembali ke Bumi Disember ini, tetapi mungkin terpaksa berada di sana lebih lama.

Agensi Angkasa Lepas Russia berkata, ia masih bercadang meneruskan penerbangan yang dirancang Disember ini walaupun ia mungkin berubah bergantung kepada keputusan suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

Kelmarin, Interfax, yang memetik kenyataan sumber melaporkan penerbangan akan dilancarkan pada 28 November ini. — Reuters

Berita Harian X