Ahad, 11 November 2018 | 8:07am
- Foto Hiasan

Empat menteri UK mungkin letak jawatan

LONDON: Empat menteri British yang menyokong untuk kekal bersama Kesatuan Eropah (EU) mungkin akan meninggalkan kerajaan Theresa May susulan Brexit, kata Sunday Times ketika tekanan dari semua pihak kian memuncak ke atas perdana menteri itu.

Akhbar itu berkata, EU turut menolak rancangan May untuk menggunakan mekanisma bebas bagi mengawasi pengunduran Britain dari sebarang aturan sementara kastam yang dipersetujui.

Britain mencadangkan satu perjanjian kastam meluas sementara dengan EU untuk menyelesaikan masalah itu tetapi penyokong Brexit dalam partinya mahu London memberi kata putus sebaik aturan itu berakhir. Ia bertujuan untuk mengelak daripada terikat selama-lamanya dengan blok berkenaan.

“Inilah masanya beliau perlu bertegas dengan Brussels dan menjelaskan bahawa mereka perlu berkompromi, atau kita berundur tanpa sebarang perjanjian,” kata seorang menteri kanan kabinet.

Seorang diplomat EU berkata semalam, mereka sangat berharap sidang kemuncak EU akan diadakan bulan ini untuk mengesahkan perjanjian itu tetapi keadaan yang tidak menentu di Britain menjadikannya sukar untuk diramalkan.

Beberapa isu lain juga masih belum dapat diselesaikan.

Mei dijangka bertemu dengan kabinetnya minggu ini untuk membentangkan rancangan berhubung perjanjian pengunduran itu.

Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah pada 29 Mac 2019, tetapi syarat pengunduran masih lagi samar. - Reuters

Berita Harian X