Isnin, 19 November 2018 | 10:54am
Penyokong Khashoggi hadir ketika upacara solat jenazah di masjid Fatih, Istanbul, Jumaat lalu. Turki percaya pembunuh wartawan itu mungkin membawa keluar mayatnya yang dikerat dari negara itu. - Foto AFP

Pembunuh Khashoggi bawa keluar mayat dikerat - Turki

ANKARA: Pembunuh Jamal Khashoggi kemungkinan membawa keluar anggota tubuh dikerat wartawan Arab Saudi itu dalam bagasi, Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar dipetik sebagai berkata oleh penyiar, CNN Turk, semalam.

Khashoggi, penduduk Amerika Syarikat (AS) dan kolumnis akhbar Washington Post, dibunuh dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul 2 Oktober lalu, mencetuskan kemarahan global terhadap negara pentadbiran diraja itu dan pemimpin de factonya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Riyadh memberi pelbagai penjelasan bertentangan terhadap kehilangannya, sebelum mengatakan Khashoggi dibunuh selepas ‘rundingan’ untuk meyakinkan kepulangannya ke Arab Saudi, gagal.

Bercakap dalam satu panel persidangan antarabangsa di Halifax, Kanada, Akar berkata, pembunuh Khashoggi mungkin membawa anggota tubuh dikerat wartawan itu keluar dari Turki, menggunakan bagasi.

“Satu kemungkinan ialah, mereka meninggalkan Turki antara tiga hingga empat jam selepas melakukan pembunuhan.

“Mereka mungkin membawa keluar mayat Khashoggi yang dikerat dalam bagasi tanpa masalah berikutan kekebalan diplomatik mereka,” CNN Turk memetik Akar sebagai berkata.

Turki berkata, sekumpulan 15 individu termasuk dua lelaki ‘pasukan pembersih’, terbabit dan mayat Khashoggi dikerat. Pihak berkuasa Turki juga menggesa satu siasatan jika mayat itu dilarutkan dalam asid.

Pendakwa raya umum Arab Saudi, Shalaan al-Shalaan berkata Khamis lalu, mayat Khashoggi dikerat, dikeluarkan dari bangunan dan diserahkan kepada seorang ‘rakan subahat tempatan’ tidak dikenali.

Tanpa menamakan suspek, Shalaan berkata, pendakwa raya sudah memohon hukuman mati ke atas lima individu ‘didakwa mengarah dan melakukan jenayah serta memohon hukuman wajar untuk individu disabitkan lain.’

Katanya, 11 daripada 21 suspek didakwa sementara siasatan terhadap baki suspek akan diteruskan. - Reuters

Berita Harian X