Rabu, 28 November 2018 | 11:14am
Pegawai perkhidmatan keselamatan FSB Russia mengiringi seorang pelayar Ukraine yang ditahan ke mahkamah di Simferopol, Crimea. - Foto AFP

Mahkamah arah kelasi Ukraine ditahan dua bulan

SIMFEROPOL: Mahkamah di Crimea, semalam mengarahkan kelasi Ukraine yang ditangkap dalam konfrontasi dengan pengawal sempadan Russia di laut ditahan selama dua bulan, dalam langkah yang meningkatkan ketegangan antara Moscow dan Kiev.

Dua puluh empat kelasi itu ditahan Moscow sejak Ahad lalu, selepas tentera Russia merampas tiga kapal di luar pantai Crimea, mencetuskan krisis antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu.

Russia menolak desakan membebaskan mereka, menuduh kelasi terbabit memasuki perairan Russia secara haram dan tidak mengendahkan amaran pengawal sempadannya.

Semalam, mahkamah di Simferopol mengarahkan 12 daripada mereka ditahan dalam penahanan praperbicaraan selama dua bulan.

Sementara yang lain dihadapkan di mahkamah hari ini.

Penahanan itu menimbulkan kemarahan Kiev, yang menuntut pembebasan semua kelasi berkenaan dan menggesa sekutu Baratnya mengenakan sekatan ke atas Moscow.

“Kami tidak setuju dengan keputusan itu, kami anggap ia tidak berasas dan tidak mengikut undang-undang,” kata peguam seorang daripada kelasi itu, Aider Azamatov, di luar mahkamah, menambah beliau akan mengemukakan rayuan dalam masa tiga hari.

Kejadian itu adalah konfrontasi besar pertama di laut dalam konflik sekian lama antara Ukrain dan Moscow dan pemisah disokong Russia di timur negara itu. — AFP

Berita Harian X