Jumaat, 30 November 2018 | 7:24pm
ANGGOTA tentera Ukraine berkawal di bandar Kiev. - Foto AFP

Ukraine larang kemasukan lelaki Russia

KIEV: Ukraine, semalam menghalang lelaki Russia pada usia layak berperang daripada memasuki negara itu, langkah yang diperkenalkan menurut undang-undang tentera selepas Russia membedil dan menahan tiga kapal tentera laut negara itu di Crimea hujung minggu lalu.

Ukraine mengumumkan ia melarang kemasukan lelaki Russia antara 16 dan 60 tahun dan pegawai keselamatan kanan negara berkata, Kiev pertimbang sama ada untuk membalas dengan ‘tindakan sama’ kepada kejadian di Laut Hitam.

Mengumumkan tindakan itu, Presiden Petro Poroshenko, merujuk kepada rampasan dan pemisahan Crimea oleh Russia pada 2014 dan sokongan kepada kebangkitan pemisah di timur Ukraine, berkata ia adalah penting untuk menghalang pencerobohan besar-besaran.

“Ia adalah langkah menghalang Persekutuan Russia membentuk pasukan tentera persendirian di situ, yang sebenarnya adalah wakil Pasukan Tentera Persekutuan Russia.

“Dan tidak membenarkan mereka melancarkan operasi yang cuba dilakukan pada 2014,” kata Poroshenko.

Ketua perkhidmatan sempadan Ukraine berkata, pengecualian diberikan atas dasar kemanusiaan, seperti jika rakyat Russia perlu menghadiri majlis pengebumian saudara mara.

Pegawai berkata, mereka juga mungkin mengenakan sekatan tambahan ke atas rakyat Russia yang sudah berada di Ukraine.

Terdahulu, dalam langkah yang dipuji di Kiev, Presiden Donald Trump membatalkan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di Argentina bagi menunjukkan bantahan Washington terhadap tindakan Russia dalam pertembungan tentera laut dengan Ukraine. — Reuters

328 dibaca
Berita Harian X