Sabtu, 26 Januari 2019 | 12:59pm
Romina Sala (kiri) ditemani rakannya ketika berada di luar Stadium Cardiff City. Foto AFP

Romina akan terus usaha kesan adiknya, Emiliano Sala

CARDIFF: Kakak Emiliano Sala, Romina berjanji untuk meneruskan usaha mengesan pesawat ringan yang dinaiki adiknya, selepas pihak berkuasa memutuskan untuk menghentikan operasi mencari pemain bola sepak Argentina itu.

“Kami amat merinduinya dan kami tahu beliau berada di sini. Kami datang untuk mencarinya dan kami akan membawanya pulang,” kata Romina dalam satu sidang media di sini.

Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi turut mendesak pasukan penyiasat untuk meneruskan misi mencari selepas pihak polis membatalkan operasi menyelamat dan mengaku peluang untuk menemui Sala adalah amat tipis.

Polis Guernsey menamatkan operasi mencari pesawat itu pada Khamis lalu, selepas pesawat ringan yang dalam perjalanan ke Wales itu hilang dari radar, ketika merentasi Selat Inggeris berhampiran pulau itu pada Isnin lalu.

Romina turut menyambut baik kenyataan Messi dan berkata adalah menjadi keutamaannya untuk memulakan usaha pencarian berkenaan.

“Emi (Emiliano) dan juruterbang berada di sini, dan kami tidak boleh meninggalkan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Messi, rakan sepasukan dari Argentina, Sergio Aguero serta semua peminat atas sokongan mereka, justeru meminta adiknya, Emiliano supaya terus ‘berjuang’.

“Beliau adalah seorang pejuang, Emiliano mula bermain ketika beliau masih muda dan sentiasa berjuang.

“Apa yang beliau sentiasa inginkan adalah bermain bola sepak dan memenuhi impiannya.

“Kami tidak akan berhenti mencari (Emiliano) dan kami tidak akan berhenti sama sekali.

“Saya mahu mencari adik saya dan saya yakin kami akan menemui beliau,” katanya. - AFP

825 dibaca
Berita Harian X