Isnin, 4 Februari 2019 | 4:51pm
Agensi Penyelidikan Kanser WHO menggesa supaya suntikan vaksin HPV diperluas di negara miskin bagi menangani kanser serviks. Foto Agensi

WHO mahu suntikan HPV diperluas ke negara miskin

LONDON: Suntikan vaksin yang diberikan kepada pelajar perempuan bertujuan melindungi mereka daripada virus penyebab kanser serviks, perlu segera diperluaskan, terutama ke negara miskin, kerana ia adalah kemudahan kesihatan penting bagi menangani penyakit itu.

Data yang dikeluarkan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (IARC), menunjukkan anggaran 570,000 kes kanser serviks baharu dikesan di seluruh dunia tahun lalu, sekali gus menjadikan ia kanser keempat paling tinggi dihidapi golongan wanita.

Setiap tahun, lebih 310,000 wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dan majoriti mangsa yang maut adalah dalam kalangan mereka di negara miskin, kerana kadar imunisasi vaksin human papillomavirus (HPV) adalah rendah.

“Di beberapa negara kaya, ada penyokong kempen anti vaksin memujuk ibu bapa supaya menolak suntikan vaksin untuk anak mereka, sekali gus mendedahkan kaum wanita kepada risiko dijangkiti penyakit itu.

“Khabar angin yang tidak tepat mengenai vaksin HPV itu menyebabkan usaha memberi suntikan vaksin itu terjejas,” kata pengarah IARC, Elisabete Weiderpass dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, agensi itu amat komited untuk memerangi kanser serviks, sambil menegaskan bahawa suntikan vaksin HPV adalah berkesan dan selamat untuk diambil oleh kaum wanita. - Reuters

59 dibaca
Berita Harian X