Khamis, 7 Februari 2019 | 12:30pm
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto AFp
PERDANA Menteri Britain, Theresa May. - Foto AFp

May rayu kerjasama EU

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, hari ini menggesa Kesatuan Eropah (EU) bekerjasama dengannya untuk mengubah perjanjian perpisahan dan membantu beliau mendapatkan sokongan Parlimen untuk melicinkan pengunduran Britain daripada blok itu.

Sebelum tiba di Brussels untuk berunding dengan pemimpin EU, May mengaku tugasnya, untuk memaksa perubahan kepada perjanjian yang dipersetujui tiga bulan lalu, bukan mudah dan sumber kerajaan berkata, kejayaan tidak akan dicapai hari ini.

Namun May memberitahu Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker; Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk dan Presiden Parlimen Eropah, Antonio Tajani, beliau mahu bekerja ‘segera’ dengan mereka untuk mendapatkan perubahan yang disifatkan boleh diterima bukan hanya oleh Parti Konservatif pimpinannya tetapi juga semua ahli Parlimen.

Beberapa minggu selepas Parlimen menolak perjanjian Brexit beliau, May perlu memujuk EU mengubah Perjanjian Pengunduran sebelum Britain dijadualkan meninggalkan EU secara rasmi pada 29 Mac ini.

Jika tidak, Britain dan beliau sendiri berhadapan masa hadapan tidak tentu, membuka jalan kepada beberapa senario, berundur tanpa perjanjian yang dilihat sebahagian perniagaan mungkin melumpuhkan ekonomi, satu lagi pungutan suara, pilihan raya awal atau tidak meninggalkan EU langsung.

Mengaku perjanjian itu adalah produk kerja keras dan dirunding dengan baik, May memberitahu pemimpin bahawa Parlimen menghantar mesej jelas bahawa perubahan diperlukan, menurut pejabatnya.

“Kerajaan kini mahu segera bekerjasama dengan EU untuk mendapatkan perubahan.

“Kita mesti menunjukkan kesungguhan dan melakukan apa saja untuk memastikan perjanjian dicapai,” katanya. — Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X