Isnin, 18 Februari 2019 | 10:06am
Mayat seorang wanita ditemui di dalam peti sejuk 18 tahun selepas dibunuh. Foto hiasan

Mayat wanita ditemui dalam peti sejuk selepas 18 tahun hilang

ZAGREB: Seorang warga Croatia ditahan kerana disyaki membunuh adiknya, 18 tahun lalu, berikutan penemuan satu mayat di dalam sebuah peti sejuk di rumahnya.

Menurut laporan media, Jasmina Dominic, 23, sedang menuntut di Zagreb apabila beliau dilaporkan hilang pada 2000.

Polis percaya mayat ditemui selepas memeriksa kediaman milik adiknya di kawasan perkampungan di utara Mala Subotica.

“Berikutan itu, seorang wanita berusia 45 tahun ditahan di Mala Subotica pada Sabtu lalu, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kami percaya mayat yang ditemui di dalam peti sejuk itu adalah wanita yang lahir pada 1977 dan dilaporkan hilang pada 16 Ogos 2005,” kata jurucakap polis wilayah, Nenad Risak kepada AFP.

Akhbar harian Vecernji List melaporkan, walaupun wanita itu didapati hilang sejak 2000, keluarganya hanya memaklumkan kepada pihak polis mengenai kehilangannya lima tahun kemudian.

“Polis percaya mayat yang ditemui di dalam peti sejuk mati akibat dibunuh, tetapi kami masih menunggu keputusan bedah siasat,” kata Risak.

Malah, beliau enggan memberikan butiran lanjut bagaimana mayat itu ditemui, tetapi pejabat pendakwa raya tempatan berkata, wanita yang ditahan adalah kakak Dominic.

“Beliau disyaki membunuh adiknya pada 2000 atau 2001, sebelum menyembunyikan mayat di dalam peti sejuk di bahagian anjung aras bawah kediamannya,” kata pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bapa Dominic yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, dilaporkan berkata pada 2011, anak perempuannya itu pada 2000 memberitahunya, beliau ditawarkan bekerja di atas sebuah kapal peranginan. - AFP

Berita Harian X