Isnin, 25 Februari 2019 | 4:39pm
THERESA May. - Foto EPA
THERESA May. - Foto EPA

Britain mungkin tangguh tarik diri daripada EU

SHARM EL-SHEIKH: Kerajaan Britain mempertimbangkan pilihan berbeza, termasuk kemungkinan menangguhkan Brexit, jika Parlimen gagal meluluskan perjanjian baru Perdana Menteri Theresa May menjelang 12 Mac ini.

Dengan cuma tinggal 32 hari sebelum Britain dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), keputusan May untuk mengadakan undian mengenai perjanjiannya meningkatkan persoalan di Parlimen, yang sudah berpecah berhubung bagaimana, atau sama ada, negara itu perlu meninggalkan blok berkenaan.

Sebelum undian Rabu ini mengenai langkah May seterusnya, ahli perundangan meningkatkan cara untuk cuba mengelak beliau membawa keluar Britain daripada EU tanpa sebarang perjanjian, senario yang dikatakan ahli perniagaan akan merosakkan ekonomi kelima terbesar dunia itu.

Beberapa pelan mereka membabitkan tindakan melanjutkan Artikel 50, yang mencetuskan tempoh rundingan Brexit selama dua tahun, menangguhkan pengunduran Britain selepas 29 Mac, sesuatu yang dikatakan May cuma melewatkan keputusan.

Kerajaan mempertimbangkan apa perlu dilakukan jika Parlimen membuat keputusan enggan meluluskan perjanjian, kata pegawai negara itu ketika ditanya mengenai kemungkinan Britain berada lebih lama dalam EU.

Akhbar The Telegraph melaporkan bahawa May mempertimbangkan pelan melewatkan Brexit sehingga dua bulan.

Rancangan Britain meninggalkan EU bertukar krisis selepas Parlimen menolak perjanjian dibuat May bulan lalu dengan kekalahan kerajaan terbesar dalam sejarah moden Britain.

Ia memaksa May mengadakan perubahan kepada perjanjian, yang dipersetujui November lalu, tetapi setakat ini, rundingan dengan pemimpin EU belum menemui laluan jelas yang boleh mendapatkan sokongan untuknya di Parlimen, yang berpecah teruk berhubung Brexit. — Reuters

Berita Harian X