Ahad, 24 March 2019 | 9:04am
THERESA May. - Foto AFP
THERESA May. - Foto AFP

Kabinet Britain mahu May berundur - Akhbar

LONDON: Menteri kanan Britain mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Theresa May, dalam masa beberapa hari, lapor The Sunday Times, ketika strategi Brexit pemimpin itu masih tidak menentu beberapa minggu sebelum United Kingdom dijangka meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Akhbar berkenaan menyatakan 11 menteri kanan yang tidak dinyatakan dan berkata mereka bersetuju May perlu meletak jawatan, memberi amaran beliau menjadi toksik dan tokoh tidak menentu yang penilaiannya mengelirukan.

“Pengakhiran sudah amat dekat. Beliau akan disingkirkan dalam masa 10 hari,” ia memetik menteri tidak dinyatakan itu sebagai berkata.

Sementara menteri kedua dipetik sebagai berkata: “Penilaiannya tidak menentu. Anda tidak boleh menjadi menteri Kabinet yang enggan menghiraukan fakta.”

The Sunday Times melaporkan timbalan May, David Lidington, antara yang disebut akan menjadi Perdana Menteri sementara tetapi tokoh lain mahukan Setiausaha Alam Sekitar, Michael Gove atau Setiausaha Luar, Jeremy Hunt, untuk jawatan itu.

Akhbar itu menyatakan, menteri Kabinet akan bertemu May esok untuk tujuan itu.

Jika beliau enggan berundur, mereka mengancam meletak jawatan.

Jika May disingkirkan, Brexit akan diragui. Tidak dapat dipastikan bagaimana, bila dan sama ada ia akan meninggalkan EU.

May, yang mengundi untuk kekal dalam EU dan menang dalam persaingan menjadi Perdana Menteri dalam kekecohan susulan pungutan suara pada 2016, berikrar untuk menjayakan Brexit tetapi menjejaskan kepemimpinannya dengan pilihan raya awal pada 2017, yang menyebabkan partinya kehilangan majoriti di Parlimen.

Perjanjian Brexit yang dipersetujui dengan EU pada November lalu ditolak sepenuhnya dua kali oleh ahli perundangan Britain. — Reuters

Berita Harian X