Jumaat, 29 March 2019 | 11:03pm
Ahli Parlimen Britain menolak perjanjian Brexit yang dibentangkan Perdana Menteri, Theresa May. - Foto AFP
Ahli Parlimen Britain menolak perjanjian Brexit yang dibentangkan Perdana Menteri, Theresa May. - Foto AFP

May gagal kali ketiga dapat sokongan Parlimen

LONDON: Ahli Parlimen Britain, hari ini, menolak perjanjian Brexit yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Theresa May buat kali ketiga - sekali gus meletakkan laluan untuk negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) dalam situasi penuh kekeliruan ketika ini.

Ia kebetulan berlaku tepat pada tarikh Britain dijadualkan meninggalkan blok berkenaan.

Keputusan untuk menolak perjanjian itu jelas memberi satu gambaran agak kabur bagaimana atau bila Britain akan meninggalkan EU. Ketika sama, ia mengheret krisis Brexit selama tiga tahun itu ke satu tahap yang tidak menentu.

Selepas sidang khas Parlimen, 344 ahli Parlimen mengundi menolak Perjanjian Pengunduran EU setebal 585 muka surat dibentangkan May, berbanding 286 menyokong.

Perjanjian itu dipersetujui selepas dua tahun rundingan dengan blok berkenaan.

May memberitahu Parlimen bahawa undian itu adalah peluang terakhir memastikan Brexit diteruskan dan bimbang jika perjanjian itu gagal, sebarang penangguhan mungkin memanjang tempoh melebihi tarikh 12 April.

“Ada yang akan berkata: ‘Parlimen menolak semua pilihan setakat ini, anda mungkin kalah, jadi mengapa ambil peduli?

“Saya peduli kerana ini adalah peluang terakhir untuk menjadikan Brexit berjaya.

“Jika kita tidak mengundi untuk usul ini hari ini, rakyat akan bertanya: ‘Mengapa tidak mengundi untuk Brexit?’,” katanya kepada Parlimen.

Ia adalah kegagalan kali ketiga buat May, yang menawarkan untuk meletak jawatan jika perjanjian itu diluluskan, dalam usaha mendapat sokongan pembangkangnya dalam Parti Konservatif pimpinannya. Mereka menyokong perpisahan yang lebih tegas dengan EU berbanding tawaran perjanjian perpisahan. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X