X
Sabtu, 30 March 2019 | 9:21am
Theresa May. - Foto EPA
Theresa May. - Foto EPA

Theresa May perlu berundur - Daily Telegraph

LONDON: Perdana Menteri Theresa May harus meletakkan jawatan serta merta selepas berunding untuk melanjutkan sementara keahlian Britain dalam Kesatuan Eropah (EU), lapor akhbar Daily Telegraph hari ini.

Penggubal undang-undang menolak idea Brexit milik May buat kali ketiga semalam, membuatkan pengunduran Britain dari EU masih satu kemelut sejak dari pertama ia dijadualkan berundur dari blok itu.

“Beliau perlu melihat atau diberitahu bahawa walaupun berjaya berjumpa EU untuk berunding tempoh lanjutan Brexit, ia adalah satu pengakhiran. Beliau perlu berundur demi Brexit, parti dan semangat demokrasi,” kata akhbar berkenaan menerusi ruangan editorial.

Telegraph sebelum ini dilihat sebagai akhbar pilihan Parti Konservatif pimpinan May.

Pada Rabu, May memberitahu penggubal undang-undang Konservatif bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri jika Brexit diluluskan parlimen, sekali gus membawa Britain keluar dari EU dan merintis laluan untuk perjanjian perdagangan pada masa hadapan.

Prospek untuk perdana menteri baharu mengetuai fasa kedua rundingan Brexit bagaimanapun tidak mencukupi bagi memenangi hati penggubal undang-undang semalam, dengan sebilangan daripada mereka khuatir rancangan itu akan menyebabkan Britain terikat dengan EU jika perjanjian perdagangan masa hadapan gagal.

May yang berjaya mengatasi cabaran utama kepimpinan Disember lalu semalam memberi petunjuk bahawa beliau mungkin perlu mengadakan pilihan raya bagi memenangi sebahagian besar undi legislatif untuk Brexit.

“Prospek untuk May mengadakan pilihan raya dan membawa legislatif meraih majoriti undi tiga angka agak mustahil,” kata Telegraph lagi.

Akhbar berbayar dengan edaran tertinggi di Britain, Sun turut mendesak May meletakkan jawatan pada edisi Isnin mereka.

Satu lagi akhbar yang menyokong Brexit, Daily Mail menggambarkan keputusan parlimen untuk menentang May sebagai ‘Pengkhianatan Brexit’ di muka depan mereka. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X