Selasa, 2 April 2019 | 2:10pm
SETIAUSAHA Brexit, Stephen Barclay. - Foto EPA
SETIAUSAHA Brexit, Stephen Barclay. - Foto EPA

Parlimen Britain tolak semua cadangan alternatif Brexit

LONDON: Ahli Parlimen Britain menolak empat rancangan alternatif untuk Brexit selepas menolak perjanjian kerajaan dengan Kesatuan Eropah (EU) sebanyak tiga kali.

Cadangan alternatif untuk mengekalkan hubungan ekonomi yang lebih rapat sebaik saja negara itu keluar daripada EU, mengadakan pungutan suara kedua atau menghentikan Brexit bagi mengelak tiada perjanjian sebaik saja keluar, semua gagal untuk memenangi undian majoriti parlimen.

Cadangan pungutan suara kedua mendapat undi paling banyak iaitu 280 undi tetapi dinafikan oleh 292 undi yang menentangnya.

Tempat kedua paling banyak mendapat undi adalah rancangan untuk kekal bersama EU. Ia mendapat 273 undi tetapi ditentang oleh 276 undi, meningkatkan harapan dalam kalangan penyokongnya bahawa cadangan itu boleh dikemukakan semula.

Susulan pungutan suara itu, kerajaan berkata keputusan menunjukkan rancangan itu adalah terbaik dan petunjuk bahawa ia boleh dikemukakan semula kepada parlimen sekali lagi minggu depan.

“Parlimen sekali lagi gagal untuk mendapatkan majoriti untuk mana-mana cadangan,” kata Setiausaha Brexit, Stephen Barclay selepas pungutan suara diadakan.

“Kedudukan yang sah ketika ini adalah United Kingdom (UK) bakal keluar daripada EU dalam tempoh 11 hari tanpa sebarang berjanjian,” katanya.

Barclay menegaskan pilihan untuk keluar tanpa perjanjian pada 12 April ini akan membabitkan waktu yang panjang kerana ia bakal menyebabkan pilihan raya Parlimen Eropah terpaksa ditangguhkan.

“Sekiranya Dewan Rakyat bersetuju dengan perjanjian pada minggu ini, masih mungkin untuk mengelak pilihan raya parlimen Eropah,” katanya. - AFP

Berita Harian X