Ahad, 26 Mei 2019 | 8:27am
Theresa May. - Foto EPA

Enam calon umum sertai persaingan ganti May

LONDON: Persaingan menggantikan Theresa May sebagai Perdana Menteri Britain semakin panas semalam dengan enam lagi calon mensasarkan jawatan berkenaan, yang tugas utamanya adalah mencari jalan membawa negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Kelmarin, May mengumumkan peletakan jawatan berhubung kegagalannya dalam Brexit, meningkatkan prospek pemimpin menyebabkan perpisahan lebih teruk dengan EU yang boleh membawa kepada konfrontasi dengan blok itu atau pilihan raya Parlimen.

Menteri Kesihatan Britain, Matt Hancock dan bekas menteri Brexit, Dominic Raab, semalam menyertai senarai semakin panjang yang mahu menggantikan May.

Bekas Menteri Luar, Boris Johnson; Menteri Luar, Jeremy Hunt; Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Rory Stewart dan bekas menteri kerja dan pencen, Esther McVey sudah pun mengumumkan pendirian mereka.

Akhbat Sunday Telegraph melaporkan, Menteri Alam Sekitar, Michael Gove, dijangka mengumumkan pencalonannya hari ini manakala menteri perdagangan, Liam Fox dan bekas menteri Brexit, Steve Baker, tidak mengenepikan cabaran apabila ditanya semalam.

May gagal dalam usahanya sebanyak tiga kali untuk mendapatkan kelulusan perjanjian perpisahan yang dipersetujui dengan EU di Parlimen disebabkan perpecahan mendalam dalam Parti Konservatif berhubung Eropah.

Ia bermakna tarikh sebenar Brexit iaitu pada 29 Mac ditangguhkan sehingga 31 Oktober untuk melihat jika ada sebarang perjanjian boleh dicapai.

Semua calon menyatakan keyakinan mereka boleh berjaya dengan membina penyatuan atau meminda perjanjian dilakukan May, walaupun EU berkata ia tidak akan merundingkan semula perjanjian itu. — Reuters

Berita Harian X