Ahad, 2 Jun 2019 | 7:00am
Bekas Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson, mendapat sokongan Trump untuk menjadi perdana menteri, menggantikan Theresa May. -Foto Reuters

Trump sokong Boris Johnson jadi PM Britain

LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, bekas Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson akan menjadi seorang perdana menteri ‘cemerlang’ untuk menggantikan Theresa May.

Trump bercakap sebelum kunjungannya ke Britain esok, di mana beliau akan bertemu May.

May dijangka meletak jawatan 7 Jun ini berhubung kegagalannya membuat perjanjian membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit.

Ditanya akhbar tabloid British, The Sun mengenai pendapat beliau terhadap 12 calon bagi menggantikan May, Trump berkata: “Saya fikir Boris akan melakukan tugas dengan baik. Beliau akan melakukan tugasnya dengan cemerlang.

“Saya sentiasa sukakan beliau. Saya tidak tahu jika beliau akan dipilih, namun saya fikir beliau seorang lelaki yang baik, seorang individu berbakat.”

Trump menambah, beberapa calon dalam perlumbaan kepimpinan Konservatif meminta sokongannya, tanpa mendedahkan siapa.

Johnson, seorang jurukempen utama pungutan suara Brexit berkata, beliau bersedia membawa Britain keluar dari EU dengan atau tanpa perjanjian.

Dalam wawancara itu, Trump juga mengulangi kritikannya mengenai cara May menguruskan rundingan Brexit, mengatakan Britain membenarkan EU ‘memiliki semua kad (pilihan).’

“Agak sukar untuk bermain dengan baik apabila sebelah pihak memiliki semua peluang. Saya menyebut perkara itu kepada Theresa bahawa anda perlu membina sendiri kekuatan,” katanya.

May merumuskan satu perjanjian perpisahan dengan EU pada November namun tawarannya ditolak tiga kali oleh Parlimen Britain, memaksa beliau mendapatkan penangguhan untuk meninggalkan blok itu, kini dijadualkan 31 Oktober. -AFP

Berita Harian X