Ahad, 2 Jun 2019 | 3:23pm

Polis Polynesia rampas 436 kilogram kokain

PAPEETE: Polis merampas 436 kilogram (kg) kokain yang disembunyikan di dalam sebuah kapal layar di perairan French Polynesia dan menahan empat lelaki, kata pendakwa raya di sini, semalam.

Polis menahan bot terbabit di Apataki atoll berhampiran kepulauan Tuamotu di timur Tahiti selepas mengesan bot suspek yang belayar dari Panama bersama empat lelaki warga negara Itali dan Peru.

Menurut pendakwa Herve Leroy, pemeriksaan awal ke atas bot berkenaan Rabu lalu membawa kepada penemuan ruang mengandungi 341 bongkah batu dan bungkusan kokain seberat 341 kg.

Kapal layar sepanjang 15 meter itu dibawa ke ibu negara French Polynesia, Papeete di mana pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan lebih banyak dadah dengan jumlah keseluruhan 436 kg.

Empat suspek terbabit kini ditahan polis dan berdepan hukuman sehingga 30 tahun penjara serta denda 7.5 juta euro (RM35.2 juta) jika sabit kesalahan.

Polis berjaya membuat beberapa rampasan membabitkan kapal layar yang menyeludup dadah di perairan Polynesia termasuk menahan kru kapal daripada enam bot sejak 2016.

Pada 2017, tentera laut Perancis merampas 1.46 tan kokain di atas sebuah kapal layar di wilayah Pasifik New Caledonia.

Difahamkan bot berkenaan menuju ke Australia, destinasi tumpuan pengedar dadar kerana tawaran harganya yang tinggi. - AFP

Berita Harian X