Jumaat, 7 Jun 2019 | 6:54pm
PERDANA Menteri Britain, Theresa May (tengah) umum meletak jawatan sebagai ketua Parti Konservatif, hari ini. - Foto AFP

May letak jawatan parti, pemilihan pemimpin Konvervatif bermula

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May meletak jawatan sebagai ketua Parti Konservatif, hari ini, ia menandakan permulaan rasmi perlumbaan calon untuk menggantikan beliau bagi menyelesaikan krisis Brexit.

May akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pemimpin baharu dipilih, mungkin sehingga lewat Julai depan, namun beliau sudah melepaskan kawalan terhadap proses Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Brexit masih dijadualkan pada 31 Oktober depan, namun seteru May menolak perjanjian itu yang menyebabkan Brexit tertangguh dengan hanya perjanjian pemisahan dengan Brussels tergantung di parlimen.

May mengambil alih pemerintahan, selepas undian pungutan suara 2016 untuk keluar daripada EU, sejak tiga tahun lalu beliau mengusahakannya dengan menangguhkan Brexit dua kali bagi meluluskan perjanjian pemisahan.

Namun, beliau akhirnya menyerah kalah, bulan lalu, selepas pergolakan politik selama berbulan-bulan sehingga menjejaskan semua pengaruhnya.

Seramai 11 pembuat dasar Konservatif mahu menggantikan beliau termasuk bekas menteri luar, Boris Johnson tetapi ada yang dijangka menarik diri, sebelum tarikh tamat pencalonan, Isnin depan.

Pemenang perlumbaan itu dijangka mempunyai tempoh beberapa bulan sahaja untuk menyelamatkan rancangan May sama ada dengan menangguhkan Brexit sekali lagi atau memutuskan hubungan dengan rakan dagangan terbesar Britain tanpa perjanjian. - AFP

Berita Harian X