Khamis, 13 Jun 2019 | 4:44pm
Kombinasi gambar fail 10 pencabar kepimpinan Parti Konservatif dari kiri atas, Boris Johson; Setiausaha Hal Ehwal Persekitaran, Makanan dan Luar Bandar Britain, Michael Gove; Jeremy Hunt: MP Konservatif, Dominic Raab dan Setiusaha Dalam Negeri, Sajid Javid; dari bawah kiri, Matt Hancock, Mark Harper, Esther McVey, Setiausaha Pembangunan Antarabangsa Rory Stewart dan Andrea Leadsom. -Foto AFP

10 calon ganti May hadapi pusingan pertama penyingkiran

LONDON: Seramai 10 calon yang bertanding untuk menggantikan Perdana Menteri Theresa May berdepan pusingan pertama pengundian hari ini, apabila sekurang-kurangnya seorang akan disingkirkan.

Ahli Parlimen (MP) Konservatif mengadakan pengundian rahsia pertama dalam perlumbaan kepimpinan parti untuk mula mengecilkan pencabar.

Kesemua 313 pembuat dasar boleh mengundi dan mana-mana calon yang tidak memperoleh sokongan 16 rakan akan tersingkir.

Jika semua melepasi halangan itu, calon dengan jumlah undian paling rendah akan tersingkir.

May, yang kekal sebagai Perdana Menteri, meletak jawatan pemimpin parti itu Jumaat lalu, berikutan gagal menggariskan pelan membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) selepas hampir tiga tahun memegang jawatan.

Ramai bertaruh, bekas Setiausaha Luar Boris Johnson dipilih menggantikan May. Bekas datuk bandar London itu melancarkan kempennya Rabu lalu, berkata, beliau akan membawa Britain keluar dari EU tanpa perjanjian sebagai ‘jalan terakhir’ dan berjanji menyatukan rakyat negara itu yang berpecah belah akibat Brexit.

Setiausaha Luar Britain Jeremy Hunt dan bekas pemimpin Parlimen, Andrea Leadsom dianggap pencabar terdekat Johnson.

Perlumbaan itu setakat ini dicemari dengan pendedahan pengambilan dadah lampau calon dan perang mulut berhubung cara terbaik menyelesaikan isu Brexit.

Undian itu akan berlangsung dalam bilik jawatankuasa Parlimen antara jam 10 pagi dan 12 tengah hari waktu tempatan dengan keputusan dijangka diumumkan sejam kemudian.

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, bekas setiausaha pencen, Esther McVey dan bekas Setiausaha Imigresen Mark Harper dianggap tiga calon mungkin untuk digugurkan. -AFP

Berita Harian X