Khamis, 20 Jun 2019 | 12:31pm
IGOR Girkin
IGOR Girkin

MH17: Siapa empat suspek?

IGOR GIRKIN

Suspek pertama dari Russia, iaitu Igor Vsevolodovich Girkin, 48 tahun, yang dikenali sebagai Strelkov atau Perviy.

Girkin adalah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB).

Pada 17 Julai 2014, Girkin adalah ‘Menteri Pertahanan’ dan komander tentera di satu kawasan yang diisytiharkan sendiri sebagai Republik Rakyat Donetsk (DNR).

Walaupun Donetsk, satu bandar di Timur Ukraine bukan secara rasmi ditetapkan sebagai kawasan bebas, namun ia ditadbir oleh ‘Perdana Menteri’ serta mempunyai barisan menteri kabinet dan angkatan tenteranya sendiri.

Donetsk adalah lokasi penembakan pesawat MH17.

Secara langsung, Girkin sebagai pegawai tentera tertinggi dilaporkan sering berkomunikasi bersama pegawai di Russia.

SERGEY DUBINSKIY

SERGEY Dubinskiy
SERGEY Dubinskiy

Surgey Nikolayevish DubinskIy, atau dikenali sebagai Khmuriy, adalah warga negara Russia.

Beliau bekas pegawai agensi perisikan tentera Russia (GRU)., iaitu perkhidmatan perisikan tentera Rusia.

Pada 2014, DubsinkIy, 56, menjadi salah seorang timbalan bawah Girkin serta ketua perkhidmatan perisikan di Republik Rakyat Donetsk.

Seperti Girkin, DubinskIy turut dilaporkan mengekalkan komunikasi bersama pegawai di Russia.

OLEG PULATOV

OLEG Pulatov
OLEG Pulatov

Suspek ketiga yang juga dari Russia, Oleg Pulatov, atau nama samarannya Giurza adalah bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU, satu unit khas yang menjadi sebahagian daripada perkhidmatan perisikan tentera Russia.

Pulatov, 52 tahun, memainkan peranan sebagai Timbalan Ketua perkhidmatan perisikan di Republik Rakyat Donetsk serta salah seorang timbalan bawah Dubinsky.

LEONID KHARCHENKO

LEONID Kharchenko
LEONID Kharchenko

Suspek warga Ukraine, Leonid Kharchenko. Foto - Openbaar Ministerie.

Leonid Kharchenko atau turut dikenali sebagai Krot, adalah satu-satunya suspek warga Ukraine serta tidak mempunyai latar belakang dalam tentera.

Kharchenko mendapat arahan secara langsung daripada Dubinsky.

Pada 2014, warga Ukraine berusia 47 tahun ini menjadi komander bagi satu unit pertempuran di Donetsk.

Tahun itu menyaksikan konflik bersenjata di Donetsk yang mengganas antara pejuang pro-Rusia dan pejuang bersenjata Ukraine.

PERANAN SUSPEK

Keempat-empat suspek terbabit dalam usaha mendapatkan sistem BUK TELAR yang melancarkan peluru berpandu 9M38 yang menjadi punca nahas pesawat MH17.

BUK TELAR diperoleh dari Persekutuan Russia sebelum dibawa ke satu tapak pertanian berdekatan dengan bandar Pervomaiskyi di Timur Ukraine, iaitu lokasi pelancaran peluru berpandu berkenaan.

Sejurus selepas peluru berpandu itu dilancarkan, sistem berkenaan dihantar kembali ke Russia dengan kekurangan satu peluru.

Pada 24 Mei 2018, Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT), mengumumkan BUK TELAR yang digunakan untuk menembak jatuh MH17 datang daripada Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat Ke-53, sebahagian daripada pihak bersenjata Russia dari Kursk.

Menurut Ketua Polis Belanda, Willbert Paulissen yang mengetuai sidang media khas semalam, walaupun kesemua suspek tidak menekan butang melancarkan peluru berkenaan, tindakan untuk mengaturkan penembakan itu boleh disabit kesalahan bawah undang-undang Belanda.

JIT turut mengambil kira situasi konflik di Donetsk pada ketika itu.

Walaupun kesemua suspek mungkin berniat untuk menyerang pesawat tentera dan bukannya pesawat komersial, namun pendakwa raya menuntut agar mereka masih dipertanggungjawabkan.

Berita Harian X