Jumaat, 21 Jun 2019 | 8:26am
Debat televisyen BBC menunjukkan calon Konservatif Boris Johnson (kiri) dan Jeremy Hunt (Kanan) selepas pusingan kedua undian. Johnson dan Hunt akan diundi anggota parti siapa layak menggantikan May akhir Julai ini. -Foto EPA
Debat televisyen BBC menunjukkan calon Konservatif Boris Johnson (kiri) dan Jeremy Hunt (Kanan) selepas pusingan kedua undian. Johnson dan Hunt akan diundi anggota parti siapa layak menggantikan May akhir Julai ini. -Foto EPA

Johnson berdepan Hunt dalam perlumbaan PM Britain

LONDON: Bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson berdepan Jeremy Hunt dalam perlumbaan menjadi Perdana Menteri Britain berikutnya selepas undian akhir ahli Parlimen (MP) semalam dengan pemenang bakal mengemudi negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Dalam undian kelima Parti Konservatif yang memerintah, Johnson memperoleh 160 daripada 313 undian sementara Setiausaha Luar Britain itu memperoleh 77 undi.

Johnson berkata, beliau ‘amat berbesar hati’ mendapat sokongan padu rakannya, apabila memperoleh lebih separuh undian.

“Saya tidak sabar merangka pelan merealisasikan Brexit, menyatukan negara dan mewujudkan masa depan lebih cerah untuk kita semua,” katanya menerusi tweet.

Setiausaha Alam Sekitar Michael Gove, yang bersama Johnson mengetuai kempen pungutan suara 2016 meninggalkan EU, tersingkir selepas memperoleh 75 undi.

Parti haluan tengah-kanan dengan 160,000 anggota akar umbi itu kini akan memilih pemimpin daripada keduanya, yang mengambil alih kepimpinan daripada Theresa May sebagai Perdana Menteri hujung bulan depan.

Kedua-dua Johnson dan Hunt berjanji membawa Britain keluar dari EU secepat mungkin, dengan tarikh keluar ketika ini selepas dua penangguhan, ditetapkan pada 31 Oktober.

Kedua-duanya berkata, mereka mahu berunding semula perjanjian dicapai May dengan Brussels, yang ditolak Parlimen Britain tiga kali namun bersedia keluar tanpa sebarang perjanjian jika perlu.

Bagaimanapun, EU berulang kali berkata, ia tidak akan mengubah perjanjian dan rundingan sukar ‘tanpa perjanjian’ terutama daripada Johnson mencetuskan kekecewaan di seluruh blok 28 negara berkenaan.

Pengkritik meramalkan peluang Johnson untuk menang dalam perlumbaan itu adalah 14 daripada 15, namun berdasarkan sejarah kepimpinan Konservatif, peserta pilihan tidak semestinya juara. -AFP

Berita Harian X