Jumaat, 21 Jun 2019 | 1:43pm
Gambar fail menunjukkan peminat meninggalkan barangan kenangan memperingati Emiliano Sala di luar stadium Stade de la Beaujoire, Nantes, Perancis, 10 Februari lalu. -Foto Reuters

Juruterbang dikaitkan dalam dakwaan pembunuhan Sala

LONDON: Seorang lelaki yang ditahan atas tuduhan membunuh berhubung kematian pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala dinamakan akhbar The Times sebagai juruterbang, David Henderson.

Sala, 28, meninggal dunia apabila pesawat membawanya dan juruterbang David Ibbotson terhempas di Terusan Inggeris pada 21 Januari lalu, beberapa hari selepas menyertai kelab bola sepak Cardiff City dari Nantes.

“Hasil siasatan kami pada Rabu 19 Jun, kami menahan lelaki berusia 64 tahun dari kawasan North Yorkshire kerana disyaki melakukan pembunuhan menerusi tindakan menyalahi undang-undang.

“Lelaki itu membantu siasatan kami dan dibebaskan dari tahanan namun sedang disiasat,” kata Detektif, Inspektor Simon Huxter dari Polis Dorset dalam satu kenyataan.

The Times menamakan lelaki yang ditahan sebagai Henderson, kerap bertugas untuk Willie McKay, ejen bola sepak dikaitkan dengan perpindahan Sala.

Ejen itu sebelum ini berkata, beliau meminta Henderson menerbangkan pesawat, namun gagal berbuat demikian.

Sala hadir pada majlis menandatangani perpindahan bernilai £15 juta (RM79.1 juta) dipersetujui dengan Nantes, Januari lalu.

Selepas berkunjung ke Cardiff bagi menyelesaikan perjanjian, Sala pulang semula ke utara Perancis untuk mengambil barangan miliknya serta mengucapkan selamat tinggal kepada rakan pasukan.

Dalam perjalanan pulang ke ibu kota Ireland untuk menjalani latihan pertama tragedi itu berlaku.

Cardiff sebelum ini menyatakan mereka ‘terkejut’ dengan laporan, Ibbotson tidak memiliki lesen untuk terbang pada waktu malam. -AFP

1589 dibaca
Berita Harian X