Rabu, 26 Jun 2019 | 10:53am
Boris Johnson, calon utama bagi memimpin Parti Konservatif ketika mengunjungi sebuah kedai menjual teh di Oxshott, Surrey, Britain. Foto Reuters
Boris Johnson, calon utama bagi memimpin Parti Konservatif ketika mengunjungi sebuah kedai menjual teh di Oxshott, Surrey, Britain. Foto Reuters

Perdana Menteri Britain diumum 23 Julai

LONDON: Pemenang dalam persaingan bagi menggantikan Theresa May sebagai pemimpin parti pemerintah, Parti Konservatif dan perdana menteri akan diumumkan pada 23 Julai ini.

Bekas setiausaha luar, Boris Johnson kini mendahului saingan dan diikuti Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Kedua-duanya menjadi pilihan 313 anggota Parlimen parti itu, daripada 10 calon yang menawarkan diri dan keputusan muktamad akan ditentukan kira-kira 160,000 ahlinya.

Menurut Parti Konservatif, undi pos akan diedarkan mulai 6 Julai hingga 8 Julai ini, dan tarikh tutup penghantaran semula undi itu ditetapkan pada 5 petang (waktu tempatan) pada 22 Julai ini.

“Pengumuman mengenai pemimpin baharu Parti Konservatif akan dibuat pada 23 Julai.

“Proses ini sudah dipersetujui kedua-dua calon,” kata parti itu dalam satu kenyataan.

Sebaik sahaja, penggantinya sudah disahkan, May akan bertemu dengan Ratu Elizabeth II, bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi.

Susulan itu, pengganti May akan mengunjungi Istana Buckingham bagi mengesahkan pelantikannya.

Parti Konservatif tidak memiliki majoriti di dalam Dewan Rakyat, tetapi memerintah hasil pakatan yang dibentuk dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP), Ireland Utara.

Dalam pada itu, May mengumumkan peletakan jawatannya bulan lalu, selepas gagal mendapatkan sokongan perjanjian Brexit di Parlimen, selain berdepan kritikan daripada ahli Parlimen Parti Konservatif dan DUP. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X