Khamis, 27 Jun 2019 | 11:11am

Vaksin terbukti berkesan cegah barah serviks

LONDON: Suntikan vaksin menentang virus penyebab hampir semua barah serviks memberikan kesan besar dalam menghentikan jangkitan.

Ia juga mengurangkan kes secara mendadak dalam masa sedekad, kata penyelidik semalam.

Ketika membentangkan hasil analisis antarabangsa meliputi 60 juta penduduk negara berpendapatan tinggi, saintis Britain dan Kanada berkata, mereka menemui bukti kukuh bahawa vaksin menentang human papillomavirus (HPV) berkesan mencegah barah serviks dalam tetapan dunia sebenar.

“Kami melihat semua yang kami mahu lihat.

“Kami melihat penurunan dalam jangkitan utama HPV yang menyebabkan kebanyakan penyakit serviks, dan kami melihat penurunan dalam penyakit serviks,” saintis utama di Kesihatan Awam England, David Mesher.

Pakar dalam penyakit berjangkit di Universiti Laval di Kanada, Marc Brisson, berkata kajian menunjukkan mereka sepatutnya melihat penurunan ketara barah serviks dalam masa 10 tahun lagi.

Vaksin HPV mula dilesenkan pada 2007 dan sejak itu dipakai di sekurang-kurangnya 100 negara seluruh dunia.

Syarikat farmaseutikal Britain, GSK, menghasilkan vaksin HPV, Cervarix, yang mensasarkan dua jenis virus itu manakala Merck menghasilkan suntikan Gardasil yang memberi tumpuan kepada sembilan jenis.

Di negara yang menjalankan program imunisasi HPV, vaksin selalunya ditawarkan kepada gadis sebelum mereka aktif dalam hubungan seksual bagi melindungi barah serviks dan barah berkaitan HPV lain. — Reuters

Berita Harian X