Jumaat, 5 Julai 2019 | 8:03am
Kapal tangki Grace 1 ditunda ke wilayah Britain di hujung selatan Sepanyol selepas belayar sekitar Afrika. - Foto EPA

Britain rampas kapal tangki minyak Iran

LONDON: Tindakan pasukan Marin Diraja Britain merampas kapal tangki minyak gergasi Iran di Gibraltar semalam mengundang kemarahan Tehran dan meningkatkan konfrontasi republik itu dengan Barat.

Kapal berkenaan cuba membawa bekalan ke Syria yang melanggar sekatan Kesatuan Eropah.

Kapal tangki Grace 1 ditunda ke wilayah Britain di hujung selatan Sepanyol selepas belayar sekitar Afrika, laluan panjang dari Asia Barat ke Mediterranean.

Kementerian Luar Iran memanggil duta Britain untuk menyuarakan bantahan amat keras mereka kepada rampasan yang disifatkan tidak sah dan tidak boleh diterima itu.

Tindakan diplomatik itu menghapuskan sebarang keraguan berhubung pemilikan Iran terhadap kapal itu, yang mengibarkan bendera Panama dan tersenarai diuruskan syarikat di Singapura.

Pihak Berkuasa Maritim Panama berkata semalam, Grace 1 tidak lagi tersenarai dalam pendaftaran bot antarabangsa negara itu sejak 29 Mei lalu.

Penasihat keselamatan negara Amerika Syarikat, John Bolton, menyifatkan tindakan Britain itu sebagai berita amat baik.

“AS dan sekutu kami akan terus menghalang rejim di Tehran dan Damsyik daripada terus membuat keuntungan daripada perdagangan haram ini,” kata Bolton di akaun Twitter.

Data perkapalan yang diperoleh Reuters menunjukkan kapal itu membawa minyak Iran yang dimuatkan di luar pantai negara itu, walaupun dokumen menyatakan ia adalah dari negara jirannya, Iraq.

Walaupun Eropah mengharamkan pengangkutan minyak ke Syria sejak 2011, ia tidak pernah merampas kapal tangki di laut.

Tidak seperti AS, Eropah tidak mengenakan sekatan meluas terhadap Iran.

“Ini adalah kali pertama Kesatuan Eropah melakukan sesuatu secara terbuka dan amat agresif.

“Saya bayangkan ia juga selaras dengan beberapa tindakan dengan AS memandangkan anggota tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terbabit,” kata rakan firma undang-undang Pillsbury Winthrop Shaw Pittman, Matthew Oresman, yang memberi pandangan kepada syarikat mengenai sekatan.

Katanya, tindakan itu berkemungkinan sebagai petunjuk kepada Syria dan Iran, selain AS, bahawa Eropah mengambil serius pelaksanaan sekatan dan blok itu juga bertindak balas kepada aktiviti Iran berkaitan rundingan nuklear yang masih berterusan. — Reuters

Berita Harian X