Sabtu, 20 Julai 2019 | 6:44pm
Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt. - Foto Reuters

Iran pilih laluan bahaya - Britain

LONDON: Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt, hari ini berkata tindakan Tehran merampas kapal tangki minyak yang membawa bendera negara itu menunjukkan petanda membimbangkan Iran memilih laluan bahaya menyalahi undang-undang dan tindak-tanduk tidak stabil.

Unit elit Iran, Pengawal Revolusi, semalam berkata ia merampas kapal Stena Impero milik Sweden di Selat Hormuz kerana melanggar peraturan maritim antarabangsa.

Kejadian berlaku beberapa jam selepas mahkamah di wilayah luar Britain, Gibraltar, melanjutkan penahanan selama 30 hari lagi ke atas kapal tangki Iran, Grace 1, yang dirampas dua minggu lalu dalam operasi dibantu Marin Diraja Britain atas dakwaan melanggar sekatan Kesatuan Eropah ke atas Syria.

“Kami akan mempertimbangkan tindakan tetapi tegas.

“Kami cuba mencari jalan menyelesaikan isu Grace 1 tetapi akan memastikan keselamatan penghantaran kami,” katanya.

Menteri Kabinet Britain, James Brokenshire, berkata rampasan kapal tangki itu tidak boleh diterima dan berkata London masih cuba membina hubungan diplomatik dengan Tehran berhubung kejadian itu.

“Tindakan Iran tidak boleh diterima sama sekali.

“Adalah penting untuk kita mengekalkan pelayaran bebas di Teluk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mahu melihat perkara itu diselesaikan secara diplomatik.

“Iran perlu membebaskan kapal itu secepat mungkin,” katanya. — AFP

Berita Harian X