Ahad, 21 Julai 2019 | 7:50pm
Philip Hammond sedia letak jawatan sebelum Johnson jadi PM. -AFP
Philip Hammond sedia letak jawatan sebelum Johnson jadi PM. -AFP

Setiausaha Kewangan, Kehakiman letak jawatan jika Johnson jadi PM

LONDON: Setiausaha Kewangan Britain, Philip Hammond berkata hari ini, beliau akan meletak jawatan sebelum Boris Johnson menjadi Perdana Menteri, mengatakan dirinya tidak pernah bersetuju terhadap strategi Brexit yang dicadangkan bakal pemimpin itu.

“Saya pasti saya tidak akan dipecat kerana saya akan meletak jawatan sebelum kita membincangkannya (Brexit),” katanya kepada saluran televisyen BBC merumuskan Johnson akan dinamakan memegang jawatan teratas itu Rabu ini.

Terdahulu, Johnson disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Britain berikutnya minggu ini, berikrar untuk memastikan Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit sebelum 31 Oktober dengan atau tanpa perjanjian, sekali gus berdepan tentangan sengit di Parlimen.

Bekas Datuk Bandar London itu menjadi calon pilihan memenangi perlumbaan kepimpinan Parti Konservatif dan menggantikan Theresa May, pada Rabu.

Undian pos 160,000 anggota parti itu dijangka memastikan Johnson, 55, sebagai pemimpin baharu Konservatif mengatasi Setiausaha Luar Jeremy Hunt apabila keputusan itu diumumkan Selasa ini.

Mana-mana baki undian perlu diserahkan sebelum jam lima petang esok (Isnin). Peramal memberi Hunt peluang tujuh peratus untuk memenangi undian itu.

Penentang Brexit, terutama jika tiada perjanjian, berkomplot menentang Johnson. Sesetengah anggota Konservatif memberi bayangan mereka bersedia menjatuhkan kerajaan berbanding menerima Brexit tanpa perjanjian.

Setiausaha Kehakiman David Gauke berkata, beliau juga akan meletak jawatan jika Johnson menjadi Perdana Menteri memaklumkan akhbar The Sunday Times, Brexit tanpa perjanjian adalah ‘memalukan’ buat negara. -AFP

David Gauke
David Gauke

Berita Harian X