Selasa, 23 Julai 2019 | 5:45pm
BORIS Johnson. - Foto AFP

Boris Johnson semakin hampir sebagai PM Britain

LONDON: Bekas Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson, dijangka memenangi persaingan untuk menjadi Perdana Menteri dan menggunakan keyakinannya untuk cuba memecahkan kebuntuan Brexit selama tiga tahun.

Johnson akan segera bersemuka dengan 27 pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Parlimennya jika beliau berjaya menewaskan pencabarnya, Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Masalahnya termasuk ketegangan mengenai kapal tangki minyak dengan Iran di Teluk.

Keghairahan semakin memuncak dan Johnson, akan mengakhiri cita-citanya untuk menerajui Britain ketika ia berada pada saat paling lemah sejak Perang Dunia Kedua.

Rakyat Britain masih berdebat mengenai akibat pungutan pendapat pada 2016 untuk meninggalkan EU selepas 46 tahun menjalin hubungan politik dan ekonomi.

Johnson berjanji membawa keluar Britain menjelang tarikh akhir pada Oktober ini, dengan atau tanpa perjanjian.

Namun Brussels enggan merundingkan semula perjanjian yang dicapai dengan bekas Perdana Menteri, Theresa May, selepas 17 bulan berbincang.

Kegagalan May mendapatkan kelulusan Parlimen mengenai perjanjian itu memaksa beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif pada 7 Jun lalu.

Ia mencetuskan persaingan kepemimpinan yang menyaksikan tidak sampai 200,000 anggota berbayar parti itu mengambil bahagian.

Pemenang akan menjadi Perdana Menteri esok dan mula melantik pasukan baru selepas dilantik secara rasmi oleh Ratu Elizabeth II. — AFP

Berita Harian X