Selasa, 23 Julai 2019 | 7:28pm
KEADAAN khemah yang musnah dalam kebakaran di kem persendirian kanak-kanak di wilayah Khabarovsk. - Foto AFP

3 maut, seorang nazak kebakaran di kem kanak-kanak

MOSCOW: Tiga kanak-kanak maut dan seorang lagi masih bertarung nyawa selepas kebakaran melanda kem musim panas di timur jauh Russia awal hari ini.

Kebakaran berlaku di kem persendirian kanak-kanak di wilayah Khabarovsk, memusnahkan 20 khemah dan mengorbakan seorang kanak-kanak perempuan pada hari ulang tahun ke-11 mangsa.

Dua lagi budak perempuan mengalami kesan kebakaran teruk dan meninggal dunia di hospital, menurut jurucakap pihak berkuasa daerah, Nadezhda Tomchenko.

Seorang budak lelaki juga berada dalam keadaan amat teruk dan berjuang untuk hidup.

“Keadaan nampak tidak begitu baik,” katanya.

Kem itu dihadiri 189 kanak-kanak dan remaja berusia antara tujuh dan 15 tahun.

Penyiasat melancarkan siasatan membunuh tanpa niat, dan pengarah kem itu sudah ditahan. — AFP

Berita Harian X